Vaksinasi barisan hadapan Myanmar

YANGON 28 Jan. – Setakat petang semalam, sebanyak 30,551 petugas kesihatan Myanmar telah mendapat suntikan vaksin Covid-19, hari pertama program vaksinasi di negara itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Myanmar, program untuk kumpulan pertama itu akan diteruskan pada hari berikutnya.

Jururawat kanan Daw Aye Muu dari Hospital Awam Nay Pyi Taw (1000) disuntik hari ini pada pukul 8 pagi sebagai suntikan vaksin Covid-19 pertama di Myanmar.

Menteri Kesihatan dan Sukan Dr. Myint Htwe melawat Nay Pyi Taw bagi meninjau aktivati pemvaksinan di Hospital Awam, Bilik Mesyuarat (2) dan Sekolah Bersalin, Kem Vaksinasi Nay Pyi Taw.

Jumaat lalu, Myanmar menerima 1.5 juta dos vaksin Covid-19, hadiah dari India untuk diberikan kepada kira-kira 750,000 rakyat negara tersebut bagi memerangi wabak itu.

Vaksin Astra Zeneca itu dihasilkan oleh Serum Institut di India yang merupakan pengeluar vaksin terbesar di dunia

Myanmar juga akan membeli 30 juta dos vaksin itu dari India dan merancang membeli vaksin Covid-19 dari negara-negara lain.

Di samping itu Myanmar akan menerima lebih banyak vaksin pada April nanti di bawah program COVAX kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Myanmar mempunyai lebih daripada 110,000 petugas kesihatan yang perlu mendapatkan vaksin tersebut sebagai perlindungan diri untuk terus menangani virus Covid-19.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi juga menerusi laman media sosialnya mendesak agar rakyatnya terus menyokong kesemua program pencegahan dan rawatan Covid-19 yang telah disusun kerajaan.

Hingga kini, Myanmar berdepan gelombang kedua Covid-19 yang mencatatkan 136,000 kes dan 3,000 kematian.

Related posts

Leave a Comment