Vaksinasi catat 231,733 dos harian

KUALA LUMPUR 30 Jun – Kadar pemberian vaksin Covid-19 harian kembali mencatat lebih 200,000 dos semalam, dengan catatan 231,733 dos, kata Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Ini menjadikan 7,824,912 dos vaksin Covid-19 sudah diagihkan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Daripada jumlah itu, 5,610,911 atau 17.2 peratus daripada populasi negara sudah menerima dos pertama, manakala 2,214,001 atau hampir tujuh peratus menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

Sementara itu data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan penduduk Kuala Lumpur kekal paling ramai menerima vaksin dengan lebih 988,698 individu atau 55.7 peratus daripada keseluruhan populasi wilayah itu sudah menerima suntikan dos pertama.

Ia disusuli Sarawak (1,03 juta/36.6 peratus), Putrajaya (37,956/34.5 peratus), Labuan (33,467/33.6 peratus), Perlis (66,955/26.3 peratus), Pulau Pinang (287,122/16.2 peratus) dan Negeri Sembilan (177,793/15.8 peratus).

Penduduk Putrajaya pula menjadi penerima dos kedua tertinggi apabila 26,955 individu atau 24.5 peratus daripada keseluruhan populasi wilayah itu sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19.

Ia disusuli Labuan (15,240/15.3 peratus), Perlis (38,558/15.1 peratus), Kuala Lumpur (189,124/10.7 peratus), Sarawak (246,259/8.7 peratus), Perak (201,040/ 8.0 peratus) dan Negeri Sembilan (90,734/8.0 peratus).

Related posts

Leave a Comment