Jepun, AS sumbang 2 juta vaksin

PUTRAJAYA 30 Jun – Malaysia akan menerima dua juta vaksin sumbangan Jepun dan Amerika Syarikat pada 1 dan 2 Julai nanti, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Jepun menyumbang satu juta vaksin Astra Zeneca manakala Amerika Syarikat pula menyumbangkan vaksin keluaran Pfizer.

Menurutnya, kerajaan berterima kasih atas sumbangan yang melambangkan keprihatinan kedua-dua kerajaan serta kepercayaan mereka terhadap Malaysia dalam memerangi Covid-19 dan menyokong program imunisasi global bagi membendung wabak ini.

“Bekalan vaksin ini akan dapat memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan bantu Malaysia capai nilai ambang seperti dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya pada sidang media mingguan PICK di Putrajaya yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Tambah Khairy, beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega akan mula beroperasi dengan kadar lebih tinggi bermula hari ini dengan pelaksanaan suntikan dos kedua.

“Antara PPV mega terlibat ialah Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), kapasiti akan meningkat kepada 8,000 dos sehari. Setia City Convention Centre akan meningkat kepada 6,000.

“Semua fasiliti terlibat telah dipersiapkan untuk tampung kadar vaksinasi lebih tinggi bagi memastikan kelancaran operasi dan untuk kita elak kesesakan berlaku di PPV mega,” ujarnya lagi.

Related posts

Leave a Comment