Jokowi sasar 2 juta dos sehari

JAKARTA 29 Jun – Selepas berjaya merekodkan satu juta vaksinasi sehari baru-baru ini, 26 Jun, Presiden Joko Widodo meletak sasaran baharu iaitu dua juta dos sehari pada bulan Ogos ini.

Dalam  satu ucapan melalui YouTube Sekretariat Presiden semalam, beliau berkata pencapaian 1.3 juta suntikan pada Sabtu lalu adalah hasil kerjasama semua pihak dan berharap sasaran satu juta sehari dipertahankan  sehingga akhir Julai.

Katanya, pencapaian itu boleh dilakukam berkat kerja keras dan kerjasama semua pihak, terutama Kementerian Kesihatan, TNI Polri, pemerintah daerah, BUMN dan pihak swasta yang turut membantu.

Jokowi dalam ucapan itu juga mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa

vaksinasi menjadi salah satu usaha dalam mengekang penyebaran Covid-19.

“Saya mohon kepada bapak, ibu dan saudara-saudara, kita semua untuk tidak ragu divaksinasi,” katanya.

Selain itu, kata Jokowi, kepatuhan menjalankan protokol kesihatan dengan memakai pelitup muka (masker), menjaga jarak, mencuci tangan dan mengurangi pergerakan juga penting.

“Sekali lagi saya ingatkan, tinggallah di rumah selama tidak ada kebutuhan yang mendesak,” katanya.

Sementara itu melalui Facebooknya, Jokowi menyertakan sekeping foto bagi menggambarkan peranan masyarakat memerangi pandemik.

Beliau bertanya, ketika pemerintah dan barisan hadapan berusaha membawa vaksin untuk menangani penyakit itu, bagaimana pula dengan anda?

“Kenakan masker, jaga jarak, dan jauhi kerumunan. Jika sudah ada kesempatan mendapatkan vaksin, segera ambil. Setiap kita punya peran dalam menghentikan laju pandemi ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment