Benua Afrika perlu bantuan segera

SISTEM kesihatan di Benua Afrika berdepan risiko lumpuh dan berdepan gelombang jangkitan Covid-19 berulang jika tidak ada bantuan antarabangsa yang signifikan dan segera termasuk bekalan vaksin dan kewangan.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika benua itu berdepan kemungkinan jangkitan Covid-19 melepasi kadar tertinggi dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini sudah menyuarakan ketidakadilan agihan vaksin yang turut melibatkan negara di benua Afrika itu.

Menurut Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva, antara yang paling terjejas adalah kawasan sub-Sahara, dengan kadar vaksinasi terendah di dunia, iaitu hanya 1 peratus daripada populasinya.

Dalam kenyataan bersama pengarah Jabatan Afrika IMF Abebe Selassie menerusi blog beliau, Georgieva berkata, sistem kesihatan kawasan itu sekali lagi berdepan risiko lumpuh, tanpa tindakan segera.

“Ia akan meningkatkan jumlah kematian, menambah risiko kemunculan varian baharu, melumpuhkan pelaburan, produktiviti dan pertumbuhan.

“Ringkasnya, tanpa bantuan, rantau ini berdepan risiko ditinggalkan lebih jauh,” katanya.

Sehubungan itu, IMF mendesak negara berkemampuan untuk berkongsi bekalan vaksin dengan Afrika menerusi inisiatif COVAX tajaan WHO.

Pengeluar vaksin pula disaran menghantar bekalan ke Afrika.

Kesatuan Afrika (AU) kini memerlukan dana ASD2 bilion untuk membolehkannya membeli 180 juta dos vaksin.

IMF turut mendesak larangan sekatan bahan mentah dan vaksin dibatalkan, bagi membolehkan Afrika Selatan dan India mencapai kadar pengeluaran maksimum.

Related posts

Leave a Comment