KUALA LUMPUR 27 Jun – Mulai esok, Isnin semua premis kedai makan dan restoran boleh memulakan perniagaan seawal pukul 6 pagi hingga 10 malam berbanding ketika ini mulai pukul 8 pagi hingga 8 malam.
Berdasarkan pengalaman lalu, kelonggaran seumpama itu sudah dijangka dan kemungkinan ada lagi yang akan ‘dilonggarkan’.
Pengumuman kelonggaran itu dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob menjelang hari terakhir fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijadualkan berakhir esok.
Bagaimanapun, fasa pertama PKP 3.0 yang kini disebut fasa pertama Pelan Pemulihan Negara dilanjutkan lagi sehingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Ismail Sabri dalam kenyataannya berkata, keputusan terbaharu itu dibuat selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.
“Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa 28 Jun 2021,” katanya.