Fasa Satu PKP kekal dalam PPN

KUALA LUMPUR 27 Jun – Fasa Satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh di Malaysia dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator (petunjuk) nilai ambang utama dicapai.

Tiada tarikh akhir fasa satu perlu ditamatkan tetapi ditetapkan mengikut Indikator nilai ambang yang digariskan sebelum ini.

Petunjuk atau indikator tersebut ialah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana serta kadar vaksinasi populasi yang menerima dua dos mencapai 10 peratus.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata peralihan daripada Fasa Satu ke Fasa Dua akan mengambil kira ketiga-tiga indikator tersebut.

Menurut beliau, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

“Berdasarkan penilaian risiko dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara

“Ia mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, dalam fasa satu PPN, SOP am PKP3.0 masih diguna pakai di mana semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor perlu yang disenaraikan dalam senarai positif dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Related posts

Leave a Comment