NZ gantung perjalanan bebas kuarantin

WELLINGTON: New Zealand hari ini menggantung aturan perjalanan bebas kuarantin dengan Australia selama tiga hari, dengan Wellington merujuk kepada “beberapa” penularan Covid-19 di negara jiran itu.

Pengumuman itu dibuat ketika perintah berkurung selama dua minggu dimulakan di Sydney bagi membendung penularan pantas varian Delta koronavirus.

Lebih 80 kes dilaporkan di bandar terbesar Australia itu sejauh ini manakala segelintir kes dalam masyarakat juga dicatatkan di Wilayah Utara, Victoria dan Queenslands sejak beberapa hari lalu.

“Namun, memandangkan kadar tinggi penularan jangkitan yang dikatakan daripada varian Delta serta hakikat bahawa kini terdapat beberapa kelompok masyarakat (di Australia), ini adalah tindakan yang betul untuk mengekang Covid-19 daripada menular ke New Zealand,” kata Menteri Respons Covid-19 New Zealand Chris Hipkins.

Hipkins berkata beliau memahami kesulitan akibat daripada penggantungan itu dan menambah bahawa New Zealand kekal komited untuk melaksanakan perjalanan bebas kuarantin dengan Australia.

Beliau menambah bahawa penggantungan itu akan memberikan para pegawai masa untuk menimbangkan langkah-langkah “untuk menjadikan aturan perjalanan khas itu lebih selamat seperti ujian pra-pelepasan ke atas semua penerbangan” antara kedua-dua negara.

Sebelum ini, New Zealand menghentikan buat sementara waktu aturan perjalanan khas itu sebanyak lima kali dengan wilayah-wilayah individu Australia tetapi ini adalah kali pertama ia menggantung perjalanan bebas kuarantin dari seluruh Australia.

New Zealand dan Australia adalah antara negara yang paling berjaya di dunia dalam usaha membendung Covid-19.

New Zealand mencatat 26 kematian akibat Covid-19 daripada lima juta penduduknya manakala Australia pula melaporkan kurang 1,000 kematian daripada penduduk seramai 25 juta orang.  

Related posts

Leave a Comment