Empat vaksin China lulus eksport

BEIJING: China mengumumkan senarai vaksin untuk dieksport iaitu vaksin buatan China National Pharmaceutical Group Beijing (Sinopharm Beijing), Sinovac Biotech (SVA), CanSino Biologics dan China National Pharmaceutical Group Wuhan (Sinopharm Wuhan).

Sinopharm Beijing dan SVA telah disenaraikan sebagai vaksin penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Turut dimaklumkan kesemua vaksin itu telah disuntik secara besar-besaran di negara ini, serta mendapat kelulusan untuk digunakan di lebih 100 negara di dunia.

Ketua Jabatan Perdagangan Luar, Kementerian Perdagangan China, Li Xingqian, berkata, ia menunjukkan hasrat China untuk menjadikan vaksin produk kesihatan awam global, selain memperkukuh kerjasama antarabangsa melawan wabak.

“China menyokong semua syarikat vaksin tersebut untuk meningkatkan bekalan vaksin kepada luar negara agar pelbagai negara khususnya negara membangun dapat dibantu dalam memperoleh vaksin.

“Kami juga akan terus menghulurkan bantuan kepada pelbagai negara yang berhasrat untuk membeli vaksin buatan China,” ujar Li.

Tambah beliau, China akan terus membantu syarikat vaksin China untuk merapatkan kerjasama dengan WHO untuk melaksanakan pelan COVAX, serta menjalankan kerjasama penyelidikan dan pengeluaran vaksin dengan negara luar.

Related posts

Leave a Comment