Lebih baik pemilihan UMNO secepat mungkin

UMNO, berkocak? Tengok apa yang berlaku ketika orang lain memberi fokus mendesak Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’ parti ‘veteran’ itu kecoh dengan pelbagai isu. Macam-macam cerita ada. Begitulah uniknya UMNO.

Tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang memberi fokus kepada pembukaan Parlimen, Perikatan Nasional (PN) khususnya ada cerita lain. Mungkin umpama air berkocak dalam cawan tetapi kocakannya tidaklah sampai memecahkan cawan.

Pelbagai cerita muncul daripada mereka yang ‘bertaraf’ pemimpin atau veteran. Begitulah lumrah parti politik, lebih-lebih lagi UMNO yang ramai jurubicara hebat.

Ketika orang bercakap seolah-olah pembangkang mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen, biar apa pun tujuannya, rupa-rupanya usaha itu dilakukan oleh orang UMNO. Walaupun SD itu urusan dalaman tetapi tidak semena-mena pembangkang terpaksa menafikannya.

Situasi seumpama ini mungkin boleh disamakan seperti telunjuk lurus kelingking berkait dan orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getahnya.

Menyokong titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah supaya Parlimen bersidang secepat adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Semua parti senada kecuali berbalah mengenai ‘secepat mungkin’.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin muncul dengan jawapan bahawa persidangan boleh diadakan sama ada September atau Oktober. Jurubicara parti pula menambah “pilihan raya umum menjelang hujung tahun”.

Ketika istilah ‘secepat mungkin’ galak dibahaskan, tiba-tiba UMNO (Biro Politik) memberi ‘kata dua’ kepada kerajaan yang dianggotainya. ‘UMNO’ memberi tempoh 14 hari mulai 21 Jun untuk PN memanggil Persidangan Dewan Rakyat.

Seperti dijangka, ramai yang bertanya apa pula selepas 14 hari tanpa perubahan pendirian awal mengenai pembukaan semula Dewan Rakyat?

Adakah UMNO akan tarik diri dari PN? Adakah UMNO arah wakil rakyatnya meninggalkan Kabinet? Jika begitu, adakah pembukaan semula Dewan Rajyat akhirnya akan membawa kejatuhan PN ketika pandemik?

Amat malang ketika negara sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan, UMNO mengarahkan ‘tenteranya’ berundur termasuk beberapa orang yang diberi peranan penting dalam ‘peperangan’ ini.

Jika itu pilihannya, sampai bila pun kerajaan tidak stabil. Masing-masing mendakwa cukup sokongan untuk membentuk kerajaan stabil. Kutip sana kutip sini cari sokongan. Masing-masing kemaruk kuasa.

Lebih mendukacitakan, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi terus menjadi sasaran beberapa ‘pemimpin’ termasuk mereka yang sudah ‘tersingkir’ atau ‘disingkir’ kerana menongkah arus.

Ini termasuklah SD yang melibatkan 25 ahli Parlimen BN yang dikatakan sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Ahmad Zahid. Walaupun SD itu bukan bertujuan menukar kerajaan tetapi tempiasnya sudah tentu menjejaskan imej UMNO.

Banyak isu dikaitkan dengan Presiden UMNO, termasuklah isu jajaran baharu, No Anwar No DAP, sokongan kepada Anwar Ibrahim dan suara mirip dua Presiden UMNO-PKR. Hakikatnya, di luar ramai melihat UMNO sedang bermasalah.

Semua isu itu lahir daripada tindak tanduk UMNO sendiri, bukan orang lain. Orang UMNO yang buka pekung di dada, menepuk air di dulang, meludah ke langit, lontar batu sembunyi tangan dan macam-macam lagi.

Jika ada campur tangan orang luar sekalipun, mereka adalah dalang yang mahu melihat UMNO musnah, umpama menunggu pecah menanti sebab, retak menanti belah.

Kalau UMNO masih berterusan begini, lebih baik UMNO mendesak UMNO mengadakan pemilihan UMNO segera atau secepat mungkin. Biar perwakilan memuktamadkan pemimpin mereka untuk menghadapi cabaran seterusnya.

Sepatutnya dalam situasi negara pada hari ini, tunjukkanlah sikap seperti aur dengan tebing, memahat di dalam baris, berkata dalam pusaka, bukan bertindak
seperti enau dalam belukar.

Sekarang bukan masanya untuk terus bergelut dengan politik dan kuasa sehingga rakyat menjadi mangsa. Rakyat tidak peduli siapa berkuasa, siapa dapat sokongan dan siapa Perdana Menteri. Rakyat hanya mahu mereka dipedulikan dan dibela.

Related posts

Leave a Comment