Pilih vaksin atau penjara

MANILA 22 Jun – Pilih vaksin atau penjara! Itu amaran Presiden Rodrigo Duterte terhadap rakyat Filipina yang enggan mengambil vaksin Covid-19 ketika negara itu merekodkan 1.3 juta kes dan 23,749 kematian.

“Anda pilih, vaksin atau saya akan penjarakan anda,” katanya semasa ucapan di televisyen pada Isnin susulan laporan jumlah kehadiran rendah di beberapa pusat vaksinasi di Manila.

Ucapan Duterte bertentangan dengan pegawai kesihatannya yang menyatakan walaupun orang ramai digesa mendapatkan vaksin Covid-19, tetapi ia adalah secara sukarela.

“Jangan salah faham, terdapat krisis dalam negara ini. Saya hanya terganggu dengan rakyat Filipina yang tidak mengendahkan arahan kerajaan,” katanya

Sebelum itu, beliau mendengar taklimat bersama Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Penyakit Berjangkit (IATF-EID) di Pusat Gaya Hidup Aktif Arcadia di Matina, Davao.

Duterte yang dikritik kerana pendekatan tegasnya dalam mengawal virus turut tidak berganjak dengan keputusan agar sekolah tidak dibenarkan dibuka.

Setakat 20 Jun, Filipina telah menvaksinasi 8.4 juta orang, dengan 6.2 juta dos pertama dan 2.1 juta lengkap dua dos, angka yang masih jauh daripada sasaran vaksinasi 70 juta orang di negara yang mempunyai 110 juta penduduk itu.

Related posts

Leave a Comment