Vaksinasi penuh 3.2 juta orang Julai

PUTRAJAYA 21 Jun – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyasarkan 10 peratus daripada penduduk negara ini akan memperoleh vaksinasi penuh menjelang pertengahan bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak lapan juta dos vaksin akan diberikan menjelang akhir bulan ini dan berharap jumlah pemberian dos akan meningkat kepada 10.7 juta menjelang pertengahan Julai nanti.

Bagi tujuan itu usaha pemberian vaksin akan dipergiatkan lagi.

Ketika ini, bagi setiap 100 dos diberikan, 30 dos adalah dos kedua dan bagi memastikan 10 peratus daripada populasi atau 3.2 juta penduduk menerima imunisasi, kerajaan perlu memberikan vaksin terhadap 10.7 juta dos.

Menurut Khairy purata pemberian suntikan vaksin Covid-19 sepanjang minggu lalu meningkat kepada 189,329 dos sehari berbanding 130,842 pada minggu sebelumnya.

Katanya,  kadar vaksinasi tertinggi setakat ini direkodkan pada 17 Jun lalu membabitkan sebanyak 229,707 dos.

Beliau berkata kerajaan akan terus menyasarkan penanda aras baharu, iaitu 300,000 dos sehari, dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment