KUALA LUMPUR 16 Jun – Majlis Presiden Pakatan Harapan menyifatkan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri semalam adalah satu ‘pelan’ tanpa apa-apa pelan yang sebenar.
Menurut kenyataan majlis itu, Ia bagaikan satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik Covid-19 dan hanya siri fasa tanpa strategi yang komprehensif.
“Kami terkejut apabila mendapati bahawa ianya hanyalah siri fasa tanpa strategi yang lengkap mahu pun langkah-langkah yang jelas, bersepadu dan menyeluruh untuk mengatasi pandemik Covid-19 dan memberi bantuan secukupnya kepada rakyat serta syarikat-syarikat yang sedang menderita, memulihkan ekonomi, dan menyegerakan kebangkitan semula Malaysia,” katanya.
Majlis itu berkata, lebih lebih mengejutkan ialah siri fasa ‘pelan’ tersebut kononnya berasaskan sains dan data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak terperinci untuk diteliti orang ramai, dan mudah termanipulasi seperti yang pernah disaksikan sebelum ini.
“Ini adalah satu pengumuman tergesa-gesa yang cuba mengalih pandangan Rakyat dari keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing, hilang arah, dan gagal berkali-kali untuk mengawal pandemik ini dengan baik.
“Jika diikut juga ‘pelan’ ini, akhirnya yang akan dipersalah dan menjadi mangsa sekiranya pandemik tidak dapat dikawal adalah Rakyat,” jelas kenyataan itu lagi.