PELAN-PELAN ‘KELUAR IKUT PINTU’ PPN

IBARAT pintu keluar, ada empat pintu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang perlu dilalui sebelum kita melangkah keluar ‘membebaskan diri’ daripada norma baharu kehidupan akibat pandemik Covid-19 yang sudah memasuki tahun kedua.

Mungkin kehidupan tidak sama seperti dahulu tetapi sekurang-kurangnya ada ruang untuk kita kembali seperti biasa, bebas ke sana ke sini ke sana ke sini.

Seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, fasa pertama bermula bulan ini melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh 3.0, fasa kedua (Julai – Ogos) dan Fasa ketiga September-Oktober.

Fasa keempat apabila purata kes harian turun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada pada paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.

Di atas kertas PPN (bukan Parti Perikatan Nasional) fasa keempat ini pelan untuk kita mengembalikan norma kehidupan seharian dengan semua sektor ekonomi dibuka, lebih banyak aktiviti sosial dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.

Perjalanan itu masih jauh, sama seperti proses pemulihan pesakit Covid-19 yang pastinya dalam tempoh itu pelbagai keluh kesah akan kedengaran lebih-lebih lagi yang ada kaitan dengan poket, dompet, perut dan gaya hidup.

Justeru tidak hairanlah apabila PPN dibentangkan, muncul pelbagai pandangan dan pendapat yang cuba meremehkan atau memperkecilkan PPN itu. Ada juga yang ‘terkejut’ kerana baru dua hari ‘nak rangka’ PPN, hari ketiga dah umum.

Pelbagai  komen muncul. Ada yang serius dengan mengemukakan cadangan dan ada yang bagai meroyan atau bagaikan maharaja lawak yang lebih kepada memperkecilkan usaha orang lain.

Padahal pelan dibuat berdasarkan kepada data, sains dan segala persiapan dari segi pengurusan Covid-19, ekonomi, program vaksinasi dan sebagainya.

Benarlah bercakap untuk mempertikaikan usaha orang lain lebih mudah. Pukul 5 dibentang, 5.30 petang dah ada yang mengomel. Lebih cepat pula berbanding PPN disiapkan. Itu lumrah manusia. Bukan mudah mahu memastikan semua orang puas.

Ada juga yang sinis dengan lakaran, foto atau grafik mereka. Contohnya manusia yang tinggal rangka menunggu fasa itu berakhir.

Ada juga yang samakan PPN tu lambat atau pelan seperti kura-kura. Tetapi jika direnung balik cerita teladan lumba lari kura-kura dan arnab , akhirnya kura-kura yang lembab itu sampai lebih awal ke garisan penamat dengan selamat.

Hakikatnya PPN itu adalah pelan. Apa maksud pelan? Selain perlahan-lahan, pelan itu juga bermaksud rancangan, langkah tindakan, lukisan dan rajah.

Semua itu adalah perancangan, usaha dan ikhtiar. Di samping berserah kepada kekuasaan Allah SWT sama ada wabak ini akan diangkat pergi, kejayaannya juga bergantung kepada usaha dan kesungguhan manusia.

Bercakap ikut sedap mulut, menuding jari ke sana sini, mencari salah dan silap orang lain seolah-olah orang lain bodoh atau tidak melakukan apa-apa tidak akan menyelesaikan masalah.

Seperti disebut tadi, pelan itu umpama lukisan, rajah, rancangan yang boleh diubah dan berubah. Sabarlah!

Sama seperti manifesto pilihan raya (parti politik tertentu), ia bukan kitab suci tetapi hanya panduan. Kadang-kadang atas sebab tertentu, parti politik tidak dapat memenuhi atau mematuhi manifesto.

Meminjam ayat politik ini : “ Kita perlu ingat, manifesto bukan kitab suci, ia hanya panduan. Kadang-kadang kita boleh laksanakan sesuatu perkara, kadang-kadang tidak boleh, jadi kita perlu berfikiran praktikal,” .

Begitulah juga PPN. Hakikatnya pelan ini bergantung kepada kita semua – kerajaan dan rakyat – untuk ‘berperang’ memerangi musuh yang tidak pernah muncul sebelum ini. Dalam sejarah negara inilah ‘musuh’ yang sukar dihadapi.

Dalam menghadapi perang ini, kerajaan dan rakyat perlu saling dengar mendengar, tegur menegur, sokong menyokong supaya tidak timbul suasana bercelaru, keliru dan resah sesama sendiri. Fokuslah kepada perang melawan wabak ini.

Seperti manifesto, jika ada yang boleh diikuti, laksanakan. Mana yang tidak wajar atau di luar kemampuan, ketepikan atau perbetulkan. Fokuslah. Jangan jadikan isu PANDEMIK atau PENYAKIT ini untuk kepentingan POLITIK, PARTI atau PERIBADI.

Pelan-pelan kita ikuti fasa ini. Jika ada pintu keluar yang lebih cepat dan selamat keluarlah. Jika tidak, carilah pintu lain. Jangan ‘keluar ikut tingkap’ kerana mungkin bahaya lain menunggu dan akhirnya terpaksa kembali ke pintu satu.
Jika begitu sampai bila nak keluar?

Related posts

Leave a Comment