PKPD Henry Gurney dilanjut

KUALA LUMPUR 31 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang dijadualkan tamat pada 2 April ini dilanjutkan sehingga 16 April.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 1,277 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak 63 kes positif Covid-19 direkodkan.

Katanya, masih terdapat peningkatan kes baharu yang dilaporkan di lokaliti dan sebanyak 101 baki sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.

Kerajaan turut melanjutkan PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir, Sitiawan, Perak bermula 2 sehingga 15 April 2021.

Kerajaan turut mengumumkan Kampung Ranggu Batu 10, Mukim Balung serta Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung, di Tawau, Sabah, dikenakan PKPD bermula 1 April hingga 14 April.

Katanya, sehingga 30 Mac,  sebanyak 59 ujian saringan dibuat dan daripada jumlah itu sebanyak lapan kes positif direkodkan di Kampung Ranggu Batu 10.

Sebanyak 16 ujian saringan juga telah dilaksanakan di Fasa 2 Taman Semarak dan daripada jumlah itu sejumlah enam kes positif  dilaporkan serta baki sembilan sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Sebanyak 89 ujian saringan dibuat di Kampung Baru Pasir Putih dan daripada jumlah itu lapan kes positif direkodkan serta terdapat 75 lagi sampel saringan menunggu keputusan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menjelaskan, sembilan individu ditahan dan dikompaun atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Katanya lagi, Operasi Benteng telah menangkap 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengesan 117 buah bot/kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

Related posts

Leave a Comment