639 ‘kluster kilang’ 95,156 kes

PUTRAJAYA 14 Jun – Sektor pengilangan merekodkan jumlah jangkitan baharu tertinggi bagi kluster tempat kerja dengan mencatatkan 95,156 kes dan 639 kluster, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam masa sama, katanya, terdapat 1,328 kluster tempat kerja dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan 624,246 individu telah disaring, manakala 147,040 orang telah dikesan positif Covid-19.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara iaitu 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara sebanyak 46,954 kes (32 peratus).

Sehubungan itu, beliau menggesa, supaya tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dipertingkat berikutan kluster melibatkan premis-premis sedemikian masih mencatatkan rekod yang tinggi.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, meskipun sebahagian besarnya melibatkan pekerja asing, namun, ia terus menjadi penyumbang kepada tercetusnya kluster baharu.

“Terdapat juga segelintir masyarakat yang hanya mengambil berat berkenaan pematuhan SOP apabila terdapat penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan.

“Kelekaan inilah yang banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19 terutamanya di tempat kerja.

“Justeru, KKM berpendapat penguatkuasaan SOP di tempat kerja wajar dipertingkatkan dalam usaha untuk terus mengekang jangkitan Covid-19 khususnya melibatkan kluster-kluster di tempat kerja,” katanya.

Related posts

Leave a Comment