Malaysia akur keputusan Arab Saudi

PUTRAJAYA 12 Jun – Malaysia akur serta menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi mengehadkan ibadah haji musim 1442 hanya untuk warganegaranya serta warganegara lain yang sudah berada dalam negara itu sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata beliau dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat, hari ini.

Katanya, keputusan kerajaan Arab Saudi itu disebabkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

“Saya memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah Haji tahun ini. “Keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Zulkifli, beliau menerima panggilan telefon daripada Dr Abdelfattah berkenaan keputusan Kerajaan Arab Saudi bagi pembabitan jemaah haji daripada negara luar bagi Musim Haji 1442H.

“Makluman yang sama diterima oleh Yang Berhormat Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada rakan sejawatnya, Yang Mulia Putera Faisal Farhan Al Saud.

“Kenyataan rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi juga dikeluarkan tepat jam 6.10 petang sebentar tadi,” katanya dalam kenyataan.

Menyifatkan keputusan itu sebagai amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan itu.

“Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleh Kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan,” katanya.

Zulkifli berkata, beliau juga akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang sudah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah Haji bagi Musim Haji 1442H, diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pada masa sama, Zulkifli berkata, beliau mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Khadimul Haramain Raja Salman Abdulaziz dan Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Malaysia.

Related posts

Leave a Comment