Dua kluster Hari Gawai

KUCHING 12 Jun – Dua daripada tiga kluster baharu yang diisytihar oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini melibatkan sambutan Hari Gawai baru-baru ini.

Kluster Kampung Sebandi Hilir, kluster komuniti dikesan melibatkan Kampung Sebandi Hilir, Lundu di Barat Daya Bahagian Kuching, berpunca daripada perhimpunan upacara ‘miring’ pada 31 Mei sempena sambutan pra Hari Gawai.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sejumlah 34 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 25 kes didapati negatif.

Kluster Melatai pula merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan penempatan di kawasan Melatai, Jalan Selirik di Kapit, kira-kira 427 kilometer dari Kuching, yang berpunca daripada pergerakan sosial dan aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Hari Gawai lepas.

Sejumlah 139 individu disaring di mana 45 kes dikesan positif termasuk kes indeks, 23 kes didapati negatif dan 71 kes masih menunggu keputusan makmal.

Selain itu, Kluster Kampung Tabuan Haji Drahman merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan Kampung Haji Drahman, Kuching yang berpunca daripada kontak ahli keluarga dan pergerakan sosial dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut.

Sejumlah 62 individu telah disaring di mana 33 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks dan 29 kes didapati negatif.

Sarawak mencatatkan 569 kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini dengan 371 daripadanya dikesan di daerah Sibu, Kuching, Kapit, Miri dan Bintulu selain empat kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan.

Related posts

Leave a Comment