Majlis kahwin ketika PKP 3.0

BUTTERWORTH 12 Jun – Walaupun majlis perkahwinan tidak dibenarkan ketika ini, masih ada yang tidak peduli dengan menganjurkan majlis itu yang dengan jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Akibatnya penganjur dan jurugambar majlis itu di Butterworth dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana dengan jelas melanggar perintah sekatan pergerakan penuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan semalam mendapati tuan rumah menganjurkan aktiviti sosial dengan meraikan perkahwinan anak lelakinya.

Semasa polis membuat pemeriksaan, terdapat 19 ahli keluarga termasuk pasangan pengantin dan seorang jurugambar berada dalam kediaman itu.

Dipercayai, majlis itu diadakan bagi meraikan anak lelaki penganjur, namun ia tidak sesuai diadakan dalam keadaan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19.

Noorzainy berkata, pihaknya terkilan dengan sikap sesetengah individu yang masih gagal mematuhi SOP dengan menganjurkan majlis yang tidak dibenarkan tanpa menghiraukan situasi semasa.

“Sikap sebegini hanya mementingkan diri tanpa menghiraukan situasi semasa, malah kedegilan mereka yang ingkar SOP menyebabkan usaha bagi menghentikan virus COVID-19 gagal.

“Polis tidak akan berkompromi dan sentiasa akan membuat pemantauan selain mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu .

Related posts

Leave a Comment