Kes sembuh atasi kes harian

PUTRAJAYA 12 Jun – Kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 sekali lagi merekodkan angka tertinggi hari ini iaitu sebanyak 8,334 mengatasi rekod tertinggi yang direkodkan semalam sebanyak 7,749.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh meningkat kepada 572,113 sementara kes positif harian yang direkodkan hari ini sebanyak 5,793 menjadikan jumlah keseluruhan 652,204 kes.

Daripada 5,793 kes itu, sebanyak 5,787 adalah kes tempatan yang melibatkan 4,851 warganegara dan 936 bukan warganegara manakala enam lagi kes import melibatkan empat warganegara dan dua bukan warganegara.

Sebanyak 76 kematian dilaporkan termasuk seorang nenek berusia 101 tahun yang tiada sebarang komplikasi penyakit.

Selangor merekodkan 27 kematian, masing-masing sembilan di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, lapan di Johor, masing-masing lima di Sabah dan Melaka, empat di Sarawak, tiga di Kelantan, dua di Kedah, serta masing-masing satu di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan WP Labuan.

Sebanyak 914 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi dan 459 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, sebanyak 24 kluster baharu dikesan menjadikan 2,462 kluster, bagaimanapun 1,701 telah tamat manakala 761 masih aktif.

Related posts

Leave a Comment