Restoran Muslim minta lanjut masa

PUTRAJAYA 12 Jun – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) merayu kerajaan melanjutkan waktu operasi restoran dari pukul 6 pagi hingga 10 malam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presiden Presma, Jawahar Ali Taib Khan berkata pihaknya membuat rayuan itu bagi membolehkan sektor itu kembali pulih susulan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pendapatan harian merosot 80 peratus.

Presma berharap lanjutan tempoh berkenaan bukan saja membantu peniaga, malah pelanggan yang turut berdepan kesukaran mendapatkan makanan pada waktu operasi 8 pagi hingga 8 malam seperti sekarang.

Dalam kenyataan itu, Jawahar Ali juga menjelaskan, Presma turut membangkitkan isu bantuan, termasuk moratorium dan subsidi sewa.

“Pada masa ini Presma masih menunggu perkembangan mengenai moratorium automatik, subsidi sewa serta beberapa pengumuman lain yang berkaitan demi manfaat ahli.

“Presma juga akan merujuk isu lanjutan waktu operasi ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat,” katanya lagi.

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan pelanjutan PKP 3.0 selama 14 hari hari bermula 15 hingga 28 Jun setelah mengambil kira jumlah kes harian COVID-19 masih tinggi melebihi 5,000 sehari.

Dalam prosedusi operasi standard (SOP) PKP 3.0, waktu operasi perniagaan termasuk restoran ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

Related posts

Leave a Comment