Kru KD Mahawangsa positif atas kapal

KUALA LUMPUR 8 Jun – Seramai 98 kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa disahkan positif Covid-19, sewaktu di atas kapal, dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut. kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan awal, kesemua anak kapal terbabit telahpun menjalani ujian saringan RTK-Antigen sebelum menaiki kapal berkenaan, dan keputusan awal mendapati mereka negatif.

“Sebelum naik kapal dah buat ujian saringan tapi keputusan dia mungkin tiga hingga empat hari baru dapat. Sebelum naik (keputusan ujian) semua negatif, tetapi di atas kapal, positif. Jadi kita asingkan mereka dan setakat hari ini tiada apa-apa simptom.

“Mereka telah diasingkan, dah lebih lima hari saya ingat. Selepas sepuluh hari, kalau ujian saringan KKM cakap negatif, maka kita akan tamatkan kuarantin mereka,” katanya selepas meninjau hari kedua pelaksanaan PPV Pandu Lalu di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Beliau juga memberitahu, usaha mencapai imuniti kelompok untuk lebih 500,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dicapai dalam tempoh tiga bulan.

Katanya , proses vaksinasi itu mampu dipercepat dengan kaedah pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat yang menyaksikan projek perintisnya di Kem Perdana Sungai Besi.

Kaedah pandu lalu itu mampu melakukan pemberian vaksin sehingga 1,500 dos sehari, meliputi anggota tentera, ahli keluarga mereka, serta orang awam yang bekerja sebagai staf Kementerian Pertahanan.

Related posts

Leave a Comment