Sasaran 200,000 sehari diberi vaksin

ISKANDAR PUTERI 8 Jun – Sehari lebih 200,000 orang. Itu sasaran kerajaan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 mulai Julai ini kepada lebih 200,000 orang dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata antara langkah yang dilakukan bagi mencapai angka itu termasuk membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Jika kita boleh lakukannya, saya yakin kita boleh capai sasaran kita untuk memvaksin 80 peratus daripada penduduk menjelang Oktober,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Besar Johor Hasni Mohammad di Bangunan Dato’ Jaafar di sini hari ini.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata seiring dengan penambahan PPV berskala besar, kerajaan turut berusaha menambah tenaga kerja yang mencukupi dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta dan mendapatkan bantuan daripada doktor pelatih, pesara doktor, pesara jururawat dan pelajar perubatan.

“Malaysia sudah memuktamadkan jadual penghantaran 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dihantar pada suku ketiga tahun ini iaitu bermula Julai diikuti Ogos dan September. Kita kini lebih jelas mengenai jadual penghantaran vaksin SinoVac dan sedang berusaha mengemas kini jadual penghantaran vaksin AstraZeneca,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat CITF hari ini, Khairy berkata sebuah PPV industri yang pertama di negeri ini dijangka dibuka pada 16 Jun yang dikhususkan kepada pekerja di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Kota Tinggi selain di Mount Austin, Johor Bahru pada akhir bulan ini.

“Kita juga telah menerima cadangan Johor untuk menggerakkan PPV bergerak dan secara pandu lalu … sekiranya bekalan vaksin tidak ada gangguan, saya menjangkakan bahawa kita akan dapat selesai memberi vaksinasi kepada tiga juta penduduk Johor pada akhir bulan Oktober,” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata kerajaan negeri telah mencadangkan beberapa lokasi lain kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan PPV swasta selain PPV AstraZeneca (PPVAZ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) bagi mencapai sasaran pemberian 50,000 dos sehari sehingga Oktober.

Ini termasuk membangunkan PPV swasta di kawasan pusat membeli belah atau PPV pandu lalu di taman tema serta beberapa PPV swasta di Daerah Batu Pahat, Pagoh dan Kluang.

Related posts

Leave a Comment