Haji: Malaysia masih menanti

KUALA LUMPUR 4 Jun – Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi mengenai status ibadah haji tahun ini walaupun negara jiran Singapura dan Indonesia memutuskan tidak akan menghantar jemaah berikutan pandemik Covid-19.

Justeru Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati bakal haji Malaysia agar bersabar.

Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada semua bakal haji, sebaik memperoleh keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi, meliputi jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah haji bagi musim ini.

Menurutnya TH telah memulakan persiapan awal sejak tahun lepas, dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan, serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi haji, sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci termasuk, keperluan baharu di mana semua jemaah haji perlu melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Syed Saleh berkata, TH telah menyarankan semua bakal haji yang terpilih pada tahun 2020, untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dan mereka mula menerima suntikan vaksin itu di samping suntikan wajib meningococcal sejak Mac lepas.

“Namun begitu, bakal haji masih perlu lulus pemeriksaan kesihatan apabila menerima surat tawaran tunai haji kelak,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau menyarankan semua bakal haji untuk membuat persiapan sewajarnya, kerana pelaksanaan rukun Islam kelima itu memerlukan persediaan dari aspek ilmu ibadat, kesihatan yang baik, rohani dan jasmani, serta kewangan secukupnya bagi memastikan semua rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata bakal haji juga perlu bersedia menghadapi kelainan dalam menunaikan haji pada kali ini, disebabkan norma baharu yang akan diamalkan pada musim ini.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramaiboleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di 03-62071919.

Related posts

Leave a Comment