‘Kenang bimbingan bersifat keayahan’

IPOH 1 Jun – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia Ahad lalu.

Istana Iskandariah Kuala Kangsar dalam kenyataan hari ini menyertakan warkah takziah Baginda kepada Puan Sri Ainon Abdul Ghani, iaitu balu kepada Allahyarham Harussani.

Dalam kenyataan itu Baginda menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan lebih besar kepada waris, anggota keluarga dan sahabat handai.

Dalam kenyataan itu Baginda menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan lebih besar kepada waris, anggota keluarga dan sahabat handai.

“Melalui warkah ini, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan ucapan kepada Puan Sri dan mendoakan waris, anggota keluarga dan sabahat handai Allahyarham menghadapi saat duka dan hiba ini dengan penuh keredaan dan ketabahan di sampung meningkatkan ketakwaan.

“Allahyarham telah memberikan khidmat sebagai Mufti Kerajaan Perak selama hampir 36 tahun bermula dari tahun 1985.

“Allahyarham semasa hayatnya sentiasa memperlihatkan sifat kesetiaan yang tinggi terhadap Raja Pemerintah dan amat memelihara tata adab dan kesopanan untuk memuliakan dan mendaulatkan institusi Raja Berperlembagaan.

“Serta mempamerkan sifat-sifat seorang ulama, ilmuan, pendidik dan pendakwah yang dedikasi. Dan pada setiap ketika berusaha sedaya mungkin mengembangkan syiar Islam,” titah Baginda.

Sultan Nazrin menyatakan, ketokohan yang dimiliki meletakkan Allahyarham sebagai seorang tokoh Islam yang dihormati, disegani lagi disayangi.

“Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Mufti Perak, Allahyarham sentiasa menyembahkan pandangan dan nasihat memandu Beta untuk memenuhi amanah sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

“Pengalaman peribadi yang amat Beta kenangi ialah bimbingan bersifat keayahan semasa mengiringi Beta menunaikan Rukun Haji pada 2003.

“Dewan Negara Perak dan Negeri Perak Darul Ridzuan kehilangan seorang ulama tersohor.

“Semoga segala khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal yang diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh, begitu juga hari kebangkitan.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan roh-roh para solihin. Al- Fatihah,” titah Baginda lagi.

Related posts

Leave a Comment