Sultan Johor cadang lockdown bersasar

JOHOR BAHRU 28 Mei – “Sudah tidak terkata lagi kebimbangan dan ketakutan tentang situasi Covid-19 di negara kita,” titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi Facebook rasmi baginda hari ini.

Justeru atas keprihatinan kepada nasib yang menimpa negara, baginda mencadangkan kepada kerajaan agar melaksanakan lockdown (Perintah Kawalan Pergerakan penuh) secara bersasar melibatkan negeri-negeri bersempadan bagi menangani peningkatan kes Covid-19.

“Ini boleh dilakukan tanpa menghentikan kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya. Saya mencadangkan lockdown penuh secara bersasar mengikut negeri ataupun rantau.

“Contohnya zon selatan — Johor, Melaka dan Negeri Sembilan full lockdown selama dua minggu diikuti zon lain seperti di pantai timur (Pahang, Terengganu, Kelantan),”  titah baginda.

Menurut baginda negeri yang tidak dikenakan PKP penuh itu boleh meneruskan kegiatan ekonomi berdasarkan prosedur operasi standard PKP biasa, dan dengan itu bilangan kes dapat ditangani tanpa menutup kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Sultan Ibrahim berharap cadangan baginda akan dipertimbang oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

(FOTO FB SULTAN JOHOR)

Related posts

Leave a Comment