PKPD Bagan Serai 27 Mei – 9 Jun

KUALA LUMPUR 26 Mei – Mulai esok, Khamis, mukim Bagan Serai, Kerian, Perak akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 9 Jun.

Langkah itu susulan daripada 53 kes positif Covid-19 yang direkodkan di lokaliti itu hasil daripada 144 ujian saringan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM juga mendapati kes semasa bertaburan dalam mukim dan tidak tertumpu dalam satu lokaliti atau kawasan dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Pada masa sama kadar insiden meningkat daripada 42.5 pada Minggu EPID 20 kepada 62.6 pada Minggu EPID 21,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi tempoh yang sama, Ismail turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di Felda Redong 1, Mukim Labis, Segamat, Johor dan di Rumah Panjang Isa Anak Blone, Rumah Panjang Ben Anak Kuleng dan SK Telok Gelam, di Daro, Sarawak.

Pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terbabit dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain.

Sementara itu, katanya, kerajaan turut mengumumkan penamatan PKPD di enam lokaliti lain antaranya adalah di Ulu Lepar, Mukim Gali, Raub, Pahang; Rumah Panjang Dinggai, Sungai Amut Atas, Pakan Sarikei, Sarawak dan Kawasan Pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit, Sarawak.

Selain itu, Pangkalan Hulu, Hulu Perak, Perak; Penempatan sekitar Sungai Klau, Raub, Pahang dan Perkampungan dalam Mukim Tras, Raub, Pahang.

Penamatan PKPD di semua enam lokaliti itu berkuatkuasa hari ini seperti yang dijadualkan.

Related posts

Leave a Comment