Pemilik, pelanggan restoran dikompaun

KUALA SELANGOR 26 Mei – Kuasa tular di media sosial akhirnya menyebabkan sebuah restoran dan pelanggan dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketat.

Pemilik Restoran Salsabeel Tanjong Karang Bistro dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan singgah minum di premis manakala pelanggan dikompaun RM2,000 atas kesalahan di bawah Peraturan 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, tindakan kompaun itu dilakukan selepas gambar seorang pelanggan sedang minum di restoran itu tular di media sosial pada 25 Mei lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau memberitahu hasil siasatan polis mengesahkan kejadian terbabit dan mendapati kesalahan itu berlaku pada pukul 1 tengah hari Selasa.

Beliau menegaskan, polis akan terus mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita perlu bersama-sama memerangi dan berganding bahu dalam memutuskan rangkaian Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment