Hungary ucap “Goodbye mask”

“DEAR Mask, goodbye” Itu mesej Perdana Menteri Viktor Orban kepada rakyat Hungary selepas lima juta penduduknya  diberi suntikan atau vaksinasi Covid-19.

“Pasukan petugas memutuskan mulai hari ini kita tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam,”katanya semalam (23 Mei).

Untuk rekod, pada November 2020, pemakaian pelitup muka adalah wajib dalam kalangan penduduk negara itu bagi menghadapi Covid-19.

Di samping pelitup muka tidak lagi menjadi wajib, perintah berkurung waktu malam juga dibatalkan yang merupakan langkah pengurangan sebahagian besar sekatan.

Pada masa sama, aktiviti perhimpunan akan dibenarkan sehingga 500 orang di kawasan terbuka, sementara acara di kawasan tertutup dibenarkan untuk individu yang mempunyai kad vaksinasi.

Orban berkata, negara itu telah berjaya menewaskan pandemik gelombang ketiga.

Beliau bagaimanapun meminta mereka yang belum mendapatkan suntikan dapat melakukannya bagi melindungi atau mempertahankan pencapaian hari ini.

Hungary adalah satu-satunya negara Kesatuan Eropah (EU) yang telah meluluskan dan menggunakan vaksin Rusia dan China dalam jumlah yang banyak sebelum Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) memeriksa atau meluluskannya.

Ini memungkinkan negara itu mencapai salah satu kadar inokulasi tertinggi di EU dengan 50 peratus daripada penduduknya yang seramai 10 juta orang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Sebilangan besar aspek industri perkhidmatan Hungary sudah beroperasi, termasuk hotel, restoran, spa, teater, pawagam, gimnasium dan tempat sukan.

Related posts

Leave a Comment