Siak meninggal, masjid ditutup

BAYAN LEPAS 24 Mei – Masjid Al-Hidayah di sini ditutup bermula semalam (23 Mei) sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak susulan kematian siak masjid dipercayai akibat jangkitan Covid-19 di sebuah klinik di sini pada malam Sabtu lalu.

Pihak pengurusan masjid juga menasihatkan ahli kariah yang mempunyai kontak rapat dengan Allahyarham supaya bersedia untuk melakukan ujian calitan Covid-19.

Sinar Harian melaporkan siak, warga emas berusia 67 tahun rebah ketika hendak mendapatkan rawatan di klinik berkenaan kerana demam.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan sepasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap dengan pakaian perlindungan bergegas ke klinik berkenaan untuk membawa jenazahnya ke Hospital Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan mengesahkan kejadian itu.

Jelasnya, ujian swab kedua akan dijalankan bagi mengesahkan sama ada mangsa dijangkiti Covid-19 atau tidak.

“Seperti yang disarankan pihak pengurusan masjid, kita berharap jemaah yang lain terutamanya yang ada kontak rapat dengan siak masjid berkenaan untuk membuat ujian saringan Covid-19.

“Justeru saya ingin mengingatkan semua masyarakat agar sentiasa patuh dan ikut pada SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment