Covid-19 : Singapura pantau situasi

SINGAPURA 24 Mei – Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menolak tanggapan yang mengatakan keadaan penularan Covid-19 di Singapura ketika ini semakin buruk berbanding situasi sebelumnya.

Katanya, beberapa tindakan yang dilakukan ketika ini termasuk operasi khas, dengan ujian swab untuk penduduk, tidak bermaksud keadaan “semestinya buruk”

Menurut beliau ujian adalah cara yang sangat berkesan untuk mencegah penularan lanjut yang membantu mengesan dan mengasingkan orang dengan lebih awal, termasuk orang yang tidak bergejala atau menunjukkan simptom ringan.

Bagi mempertahankan kenyataan itu, Ong melalui Facebooknya melampirkan grafik yang menunjukkan purata tiga hari keseluruhan kes dalam masyarakat dan kes dalam masyarakat yang tidak berkaitan dari 16 Mei hingga 21 Mei.

Katanya:  “Kita berada di sekitar jumlah yang sama sejak 16 Mei”, merujuk tarikh Singapura semakin memperketat peraturan dan memasuki apa yang disebut sebagai “Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat)”.

Bagaimanapun kementerian sedang mengawasi keadaan dengan teliti; untuk melihat sama kita sedang naik, turun atau mendatar.

Beliau menjawab beberapa persoalan lazim mengenai Covid-19 di Singapura.

Katanya, kira-kira 300 kes dalam penularan Covid-19 sekarang belum menjalani vaksinasi manakala 78 kes positif virus itu pula sudah melalui vaksinasi dan kebanyakan daripada mereka pekerja barisan hadapan.

Ini bermakna, daripada keseluruhan kes dalam penularan sekarang, sekitar 79 peratus kes belum divaksinasi berbanding 21 peratus yang sudah divaksinasi.

Merujuk pertanyaan  sama ada benar ramai yang divaksinasi dijangkiti dan tiada gunanya mendapat vaksin, beliau berkata kajian antarabangsa terus membuktikan bahawa vaksinasi “sangat berkesan untuk mencegah jangkitan dan sakit teruk”.

Beliau turut menjelaskan mengenai penyebaran varian baharu koronavirus B1617 yang penularan virus itu tidak berbeza, yang tersebar apabila seseorang “batuk, bersin, bercakap atau bernyanyi, melalui titisan dan aerosol di udara”.

Katanya, aliran udara yang terhad dan tidak bagus memburukkan lagi penyebaran. Sebilangan besar jangkitan berlaku dalam tempat tertutup dengan pergaulan jarak rapat tanpa pelitup, menyebabkan pihak berkuasa menghentikan sementara kegiatan makan di restoran dan perjumpaan besar.

Keadaan ini juga menyebabkan sebilangan besar jangkitan berlaku di rumah.

Related posts

Leave a Comment