Dua dos lawan varian B.1.617.2

SUNTIKAN dua dos vaksin Covid-19 didapati berkesan melawan virus varian India seperti mana keberkesanannya terhadap varian United Kingdom (UK), kata Menteri Kesihatan Britain Matt Hancock.

Beliau berkata, data tersebut merupakan satu kejayaan yang diharap mendorong kerajaan untuk memansuhkan lebih banyak sekatan Covid-19 bulan depan.

Katanya, bukti itu sangat penting dan menunjukkan betapa pentingnya dos kedua untuk mendapatkan perlindungan terkuat terhadap Covid-19.

“Terima kasih kepada para saintis dan doktor yang telah berusaha untuk menghasilkan penyelidikan ini,” katanya merujuk kajian yang dijalankan oleh Public Health England (PHE).

Dalam kenyataan pada 22 Mei lalu, PHE mendapati, vaksin Pfizer-BioNTech berkesan 88 peratus melawan penyakit simptomatik akibat jangkitan varian B.1.617.2 dua minggu selepas dos kedua.

Ia berbanding keberkesanan 93 peratus terhadap mutasi B.1.1.7 atau ‘Kent’ yang merupakan varian Covid-19 yang dominan di UK.

Pada masa sama, menurut PHE, dua dos vaksin AstraZeneca didapati berkesan 60 peratus terhadap varian India itu berbanding 66 peratus terhadap varian Kent.

“Saya semakin yakin bahawa kita berada di landasan yang betul mengikut perancangan, kerana data menunjukkan, vaksin ini, selepas dua dos, berfungsi dengan berkesan (terhadap varian India),” kata Hancock.

Di bawah rancangan kerajaan, pemansuhan baki sekatan Covid-19 akan dilaksanakan mulai 21 Jun.

Britain telah melancarkan program vaksinasi terpantas di Eropah namun menghadapi cabaran baharu daripada varian India.

Data diterbitkan Sabtu lalu menunjukkan, kes Covid-19 baharu dilaporkan di Britain meningkat 10.5 peratus dalam masa tujuh hari hingga 22 Mei.

PHE mengatakan, dos pertama kedua-dua vaksin tersebut 33 peratus berkesan terhadap penyakit simptomatik dari B.1.617.2 selepas tiga minggu, lebih rendah berbanding keberkesanan 50 peratus melawan B.1.1.7.

Setakat ini 60 juta penduduk Britain mendapat suntikan vaksin.

Related posts

Leave a Comment