Sumbangan vaksin bukan penipuan

KOTA KINABALU 21 Mei – Individu yang dikaitkan dengan sumbangan bekalan vaksin Covid-19 kepada kerajaan Pulau Pinang tampil memberikan penjelasan hari ini seterusnya menafikan berlaku penipuan.

Yong Chee Kong berkata dia adalah wakil sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong menafikan dakwaan bahawa sumbangan tersebut adalah satu bentuk penipuan atau ‘scam’ seperti didakwa sesetengah pihak.

Dia seperti dilapor Astro Awani bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan tersebut.

“Saya rasakan sangat tidak adil kepada saya kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Apa yang beliau katakan bahawa saya menipu atau buat itu ini, adalah palsu dan tidak betul.

“Saya dipanggil pihak polis bagi diambil keterangan daripada saya dan sebenarnya ini adalah sumbangan biasa.

“Ini hanya derma, saya tidak tahu mengapa terjadi isu ini. Lebih baik perkara ini serahkan kepada peguam saya untuk dibincangkan,” katanya ketika ditemui Astro Awani di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Chee Kong telah dipanggil polis ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu pagi tadi untuk diambil keterangan sebelum selesai di sebelah petangnya.

Semalam, Astro Awani telah mendapatkan reaksi daripada Chee Kong yang mendedahkan dia terkejut apabila dimaklumkan media mengenai perkara itu susulan pendedahan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy berkata tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang seperti yang dilaporkan sebelum ini merupakan satu penipuan (scam) dan perkara itu kini dalam siasatan.

Related posts

Leave a Comment