Dikompaun akibat bergambar ramai

LANGKAWI 5 Feb. – Jangan pandang remeh terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang dilaksanakan.

Sama ada ‘bernasib baik’ atau sebaliknya, jika terlihat oleh pihak berkuasa berhubung kesalahan yang dilakukan, jangan salahkan sesiapa.

Siapa sangka ketika asyik merakam gambar kenangan secara berkumpulan, anda disapa pihak berkuasa dan kemudiannya dikompaun.

Ini berlaku terhadap 19 individu termasuk satu pasangan pengantin yang ditahan polis dan dikenakan kompaun, Rabu lepas. 

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata anggotanya yang membuat rondaan bagi memastikan SOP PKP 2.0 dipatuhi di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat, telah mengesan kehadiran kumpulan berpakaian sedondon itu, kira-kira pukul 6.30 petang.

“Semasa rondaan, anggota polis ternampak kumpulan tersebut yang terdiri daripada sepasang pengantin dan 17 individu termasuk pengiring pengantin (seorang lelaki, 16 perempuan) berada berhampiran sungai dan mengambil gambar beramai-ramai. Hasil siasatan,  mereka tinggal di kawasan perumahan tersebut serta ada yang datang daripada beberapa lokasi lain sekitar pulau ini,” katanya.

Shariman berkata anggotanya kemudian menahan mereka kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk keluar rumah.

Katanya, mereka yang berusia antara 17 hingga 28 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.

Related posts

Leave a Comment