Lima lagi lokaliti dikenakan PKPD

KUALA LUMPUR 21 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lima lokaliti melibatkan Sabah, Johor dan Kuala Lumpur berkuat kuasa 23 Mei sehingga 5 Jun 2021.

Kawasan tersebut ialah Kampung Pagar Sungai Imam, di Tawau, dua asrama pekerja Kilang Oceanic Fabric Mill Kilang Purnabina di Kluang serta Kampung Batu Muda Tambahan dan PPR Kampung Limau di Kuala Lumpur.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan turut melanjutkan PKPD di tiga perkampungan di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan iaitu

Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang juga berkuat kuasa 23 Mei sehingga 5 Jun 2021.

Katanya , Kementerian Kesihatan telah melakukan 486 ujian saringan di Kampung Paya Ular dan 94 individu disahkan positif Covid-19 manakala 75 kes positif  direkodkan di Kampung Bechah Palas hasil daripada keseluruhan 984 ujian saringan.

Dalam kenyataannya, Kementerian turut merekodkan 69 kes positif Covid-19 di Kampung Tualang selepas melakukan 307 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.

Sementara itu, seramai 550 lagi individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Khamis. Daripada jumlah tersebut seramai 532 individu dikompaun manakala 17 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis sebanyak 193 kes; tidak memakai pelitup muka (122); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (72); tiada penjarakan fizikal (57); rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (4); mengadakan rumah terbuka (1) serta lain-lain (101).

Bagi Operasi Benteng (Op Benteng) pula, seramai 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditangkap semalam, selain dua buah kenderaan darat dirampas.

Sebanyak 144 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

Related posts

Leave a Comment