Masih melebihi 6,000 kes

PUTRAJAYA 21 Mei – Hari ketiga, Malaysia terus merekodkan lebih 6,000 kes jangkitan harian, dengan angka hari ini 6,493 termasuk dua kes import berbanding 6,806 semalam dan 6,075 pada Rabu.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 498,795 kes.

Daripada 6,493 kes itu, sebanyak 6,491 kes tempatan melibatkan 6,038 warganegara dan 453 bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 52,106 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau juga memaklumkan  bahawa terdapat pertambahan 50 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,149 kes,” katanya dalam satu kenyataan, petang Jumaat.

Daripada 50 kes kematian hari ini, 22 kes di Selangor, lapan di Sarawak, lima kes di Johor, empat di Kedah, tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Kelantan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,508 kes telah pulih dan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 444,540 kes.

Sehingga kini, terdapat 643 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 363 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment