Melaka tetapkan 20 jemaah di masjid

MELAKA 20 Mei – Susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri ini, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), menetapkan peraturan baharu bilangan yang dibenarkan solat berjemaah iaitu 20 orang bagi masjid dan 10 bagi surau.

Prosedur operasi standard (SOP) aktiviti solat jemaah dan program pengimarahan mengikut kapasiti masjid dan surau, itu berkuat kuasa hari ini hingga 7 Jun.

Pengarah JAIM, Che Sukri Che Mat berkata, bagi pelaksanaan solat Jumaat di masjid pula, maksimum jemaah dibenarkan adalah 100 orang, termasuk ahli jawatankuasa masjid.

Bagi surau diberi kebenaran mengadakan solat Jumaat pula adalah seramai 10 jemaah termasuk ahli jawatankuasa surau.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan solat jenazah pula, hanya 20 jemaah termasuk ahli jawatankuasa dan waris dibenarkan di masjid dan 10 jemaah di surau.

Bagi aktiviti pengimarahan seperti ceramah, bacaan Yasin dan tahlil, bengkel dan kursus serta penganjuran majlis, ditangguhkan.

Sementara itu kebenaran bagi majlis akad nikah di masjid dan surau pula, ditentukan oleh Pejabat Agama Islam Daerah berkaitan.

Related posts

Leave a Comment