Pendekatan berbeza PKP Selangor

PUTRAJAYA 20 Mei – Selangor memerlukan pendekatan yang berbeza, jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dilaksanakan di negeri itu, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, berbanding dengan pelaksanaannya semasa PKP 1.0, situasi semasa jangkitan memerlukan PKP mesti bersekali dengan tindakan-tindakan yang dapat menghentikan penularan Covid-19.

Katanya, tempoh sekatan pergerakan (lockdown) selama dua minggu tidak cukup untuk benar-benar menghentikan jangkitan virus tersebut, terutamanya jangkitan yang membabitkan kluster yang mempunyai beberapa generasi.

Bekas Menteri Kesihatan itu melalui laporan Bernama berkata, jika PKP penuh itu dilakukan nanti, ujian saringan secara besar-besar yang disertai dengan suntikan vaksin harus dilakukan ke atas kawasan-kawasan panas (hotspot).

Ini termasuk kawasan perindustrian dan perkilangan bagi membentuk ‘ring vaccination’ bagi mencegah penularan wabak tersebut ke kawasan lain.

“Selain itu penggunaan aplikasi digital harus dioptimumkan, bagi mengesan kontak-kontak rapat selain mengurangkan tugas barisan hadapan, ekoran penyediaan ‘paperwork’ yang banyak ketika merawat pesakit,” katanya.

Beliau turut mencadangkan bagi proses vaksinasi ke atas semua penduduk di Malaysia, pemberian dos pertama patut dijalankan kepada seramai mungkin, dengan melambatkan fasa pemberian dos kedua.

“Jika kita menumpukan untuk memberi dos pertama vaksin kepada seramai mungkin, kita akan segera mencapai tahap imuniti kelompok, memandangkan dos kedua adalah berperanan sebagai ‘booster’ kepada dos pertama tadi,” katanya.

Beliau turut menasihati rakyat di Selangor khususnya untuk mengadaptasi norma baharu dalam kehidupan, iaitu dengan mengamalkan semua prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bagi mengelakkan jangkitan selain mengambil langkah melakukan sekatan pergerakan kendiri.

Related posts

Leave a Comment