Covid-19 : Kewaspadaan Dipertingkat di Singapura

SINGAPURA 14 Mei – Dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang semakin meningkat, Singapura sekali lagi mengambil langkah yang disifatkan sebagai “Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat)” berkuat kuasa mulai 16 Mei hingga 13 Jun.

Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata, mulai tarikh itu perhimpunan sosial dihadkan, kehadiran di pusat beli belah juga terbatas, tiada lagi makan minum di premis serta menggalakkan kerja dari rumah.

Bagi perhimpunan sosial termasuk tetamu bagi setiap rumah, had lima orang akan dikurangkan kepada hanya dua dan semua orang digalakkan lebih banyak duduk di rumah

“Jika mahu keluar untuk lakukan apa sahaja, beli barangan dapur, bersenam, hanya maksimum dua orang. Malah, kami sangat menggalakkan semua orang duduk di rumah sebanyak mungkin dan keluar atas sebab-sebab penting.” katanya

pada satu sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian hari ini.

Beliau berkata,  peraturan ini akan dinilai semula di peringkat pertengahan, bermakna dua minggu selepas langkah-langkah ini dilaksanakan.

Menurut beliau lagi, makan di premis makanan dan minuman (F&B) juga tidak dibenarkan, termasuk di pusat-pusat penjaja dan pusat makanan, sama ada di tempat tertutup atau di tempat terbuka.

“Semua premis F&B hanya boleh menawarkan pilihan makanan yang dibungkus dan dibawa pulang sahaja. Sejajar dengan itu, majlis-majlis jamuan perkahwinan juga perlu dihentikan kerana ia melibatkan kegiatan makan,” katanya.

Kegiatan lain yang tidak dibenarkan seperti disenaraikan Kementerian Kesihatan dalam tempoh ini termasuk kelas-kelas senaman berat atau sukan berat bagi individu atau kumpulan di tempat tertutup serta kegiatan senaman

Khidmat-khidmat peribadi yang memerlukan pelitup ditanggalkan seperti sauna dan perawatan kecantikan wajah, nyanyian dan permainan peralatan yang “memerlukan penghembusan angin” seperti peralatan bras, juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun, khidmat-khidmat perubatan dan pergigian masih boleh diteruskan.

Bagi acara yang melibatkan 100 atau 250 orang ketika ini akan dikurangkan masing-masing kepada 50 dan 100.

“Kami juga akan mengurangkan had di semua pusat beli-belah, bilik-bilik pameran dan daya tarikan serta kapal pesiaran, muzium, perpustakaan awam dan had bagi semua ini akan dikurangkan,” tambah beliau.

Muzium dan perpustakaan awam juga dibenarkan beroperasi dengan jumlah pengunjung yang dikurangkan kepada 20 peratus. Pertunjukan di tempat tertutup dan terbuka boleh diteruskan dengan sehingga 100 penonton tetapi memerlukan ujian swab sebelum acara dan sehingga 50 orang tanpa ujian swab.

Majlis pernikahan dibenarkan, dengan had 50 hadirin tanpa ujian atau sehingga 100 tetamu dengan ujian sebelum acara.

“Kami tahu ada satu kumpulan orang yang khususnya terjejas juga, iaitu pasangan pengantin. Sebahagiannya mungkin sudah membuat perancangan perkahwinan bagi Ahad ini dan mungkin sukar untuk membuat perubahan saat-saat akhir,” kata Wong.

Justeru bagi yang terjejas, pemerintah bersedia menimbangkan untuk membenarkan mereka mengikuti peraturan sedia ada bagi majlis pada Ahad ini.

“Mereka boleh meneruskan majlis tetapi kami memerlukan mereka membuat aturan bagi ujian sebelum acara bagi semua tetamu mereka. Tatapi aturan khas ini hanya untuk Ahad ini kerana ia acara sekali seumur hidup,” katanya.

Related posts

Leave a Comment