Kita belum menang lawan Covid-19

Assalamualaikum, syukur Alhamdulillah buat kali kedua kita berhari raya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekurang-kurangnya tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas walaupun tidak boleh rentas daerah dan negeri.

Masih ada ruang untuk kita bersama berhari raya selepas Ramadan diisi dengan ibadah puasa, solat Tarawih, Witir , sedekah, zakat dan pelbagai lagi. Semoga ibadah kita mendapat ganjaran di sisi-Nya.

Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran ketika kita sedang berperang dengan Covid-19. Musuh yang tidak kelihatan ini benar-benar mengancam kehidupan kita dalam pelbagai bidang. Ibadah Ramadan kita yang ketika menghampiri kemuncak direntap dengan PKP.

Ramai yang kecewa saat kemuncak ibadah mereka terpaksa berebut tempat solat di masjid dan surau bukan sahaja untuk Tarawih dan Jumaat tetapi juga solat Aidilfitri. Mereka tidak dapat berjemaah bersama di surau dan masjid. Anggaplah itu juga ketentuan-Nya.

Pemerintah mempunyai tanggungjawab lebih besar menjaga kesihatan rakyat. Tiada sesiapa yang kebal walaupun sudah divaksin. Belum pasti andai badan kita dibaluti duri seperti durian, Covid-19 tidak berani menyapa kita. Justeru kitalah sahaja yang menjadi senjata untuk mempertahankan diri daripada Covid-19. Berhati-hatilah. Ikut nasihat – duduk di rumah, patuh SOP, jangan ke sana ke sini ke sana ke sini.

Hari ini 1 Syawal 1442 kita hanya menang melawan nafsu sepanjang Ramadan, menang untuk merebut ganjaran yang dibawa Ramadan. Kita hanya menang ‘melayani’ Ramadan bukan menang memerangi Covid-19.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin

Related posts

Leave a Comment