India catat 412,262 kes harian

NEW DELHI: India sekali lagi merekodkan kes harian melebihi 400,000 apabila mencatatkan 412,262 kes dalam tempoh sehari. Sabtu lalu India merekodkan 401,993 jangkitan harian.

Menurut Kementerian Kesihatan jumlah keseluruhan kes setakat ini melebihi 21 juta manakala 3,980 lagi kematian dilaporkan menjadikan keseluruhan mencecah 230,168 orang.

Rabu lalu, seorang saintis terkemuka India memberi amaran bahawa gelombang ketiga adalah sesuatu yang “tidak dapat dielakkan”.

Perdana Menteri Narendra Modi, yang didakwa gagal menguruskan gelombang kedua, telah mengumumkan lebih banyak langkah untuk menangani situasi tersebut.

Ketika lonjakan jumlah kes yang mendadak, terdapat banyak permintaan untuk sekatan pergerakan di seluruh negara diambil untuk menghentikan penularan.

Seorang ahli pulmonologi, Dr Digambar Behera berkata, India tidak ada pilihan lain selain mengenakan sekatan pergerakan secara menyeluruh untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Benar, sekatan pergerakan akan menjurus kepada lebih banyak kesulitan ekonomi, tetapi kita tiada pillihan. Dengan kes yang semakin meningkat, menunjukkan kita tidak bersedia menghadapi lonjakan kali ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment