Larangan mudik lebaran bermula

JAKARTA: Larangan mudik lebaran iaitu kegiatan rakyat beramai-ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bermula hari ini sehingga 17 Mei.

Pemerintah Indonesia sebelum ini memutuskan untuk melarang mudik, bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurut surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Pasukan Bertindak Kebangsaan Covid-19, langkah itu adalah untuk membendung penularan Covid-19 yang kesnya melonjak setiap kali selepas cuti umum utama sebelum ini.

Sepanjang tempoh larangan mudik, polis akan mendirikan penghadang jalan raya di tol jalan-jalan utama untuk memaklumkan kepada para pengguna jalan raya berpatah balik.

Selain itu, penggantungan sementara perjalanan melalui udara, kereta api dan laut juga akan mula berkuat kuasa.

Ini merupakan tahun kedua larangan mudik itu dikuatkuasakan selepas dasar itu pertama kali diperkenalkan tahun lalu untuk mengurangkan risiko penularan.

Tradisi mudik itu biasanya menyaksikan sekitar 30 juta warga Indonesia pulang ke kampung halaman setiap Lebaran.

Meskipun larangan mudik dikuatkuasakan mulai hari ini, masih terdapat beberapa pengecualian, seperti kecemasan dan perjalanan rasmi.

Related posts

Leave a Comment