Situasi di India ingatan untuk semua

GENEVA : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kebimbangan berhubung situasi pandemik Covid-19 di India yang dianggap kritikal dengan peningkatan kes dan juga kematian.

Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, apa yang berlaku di negara penduduk paling padat di dunia itu adalah ingatan kepada semua bagaimana usaha berterusan perlu dilakukan untuk menangani Covid-19.

“Situasi di India merupakan satu peringatan yang dahsyat tentang apa yang mampu dibuat oleh virus ini dan mengapa kita mesti gunakan apa saja kaedah untuk melawannya melalui pendekatan yang komprehensif dan bersepadu – langkah-langkah kesihatan awam, vaksin, diagnostik dan terapi,” katanya

Beliau berkata, situasi itu adalah senario yang berlaku di seluruh dunia dan akan terus berlaku kecuali kita memastikan semua pihak dapat akses sama rata kepada alat yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.

“Penyelesaiannya mudah, kita perlukan negara dan syarikat yang menguasai sumber berkenaan untuk berkongsi supaya kita dapat menyelamatkan nyawa,” katanya di Geneva, Switzerland, Jumaat 23 April.

India kini giat memerangi gelombang kedua jangkitan koronavirus dengan catatan kes harian semakin bertambah setiap hari, malah melebihi rekod sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment