Jadikan PRN Sabah permulaan kejayaan

PUTRAJAYA 26 Nov. – Gabungan Kerajaan Perpaduan perlu mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun depan sebagai permulaan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata kemenangan itu bagi membolehkan Kerajaan Perpaduan dapat meneruskan agenda yang dirancang demi rakyat.

“Kemenangan kita dirampas menerusi (langkah) Sheraton (pada 2020), manakala kemenangan kali ini (penubuhan Kerajaan Perpaduan) dicapai melalui gabungan.

“Jadi, kita tidak boleh meneruskan pelaksanaan agenda kita kalau kita tidak mengekalkan kemenangan pada PRU akan datang termasuk bermula dengan (PRN) Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Nurul Izzah berkata, semua anggota PKR perlu bersangka baik sesama sendiri dan mengelak daripada bertembung sesama sendiri.

“Isu fitnah ini yang saya nak sebut, bukan saja dari luar, dari dalam pun ada, ia membunuh… ia membunuh kejayaan sekecil mana pun, membakar usaha kita selama ini.

“Benar tidak ada sesiapa pun yang sempuna, kalau kita boleh husnudzon dengan parti lawan, takkan kita tak boleh husnudzon sesama sendiri,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari, ketika menggulung Ucapan Dasar Presiden berkata, PKR tidak lagi boleh sekadar berada di belakang dan seharusnya berada bersama-sama dengan gabungan yang disepakati.

“Untuk PRN Sabah, kita serahkan kepada kebijaksanaan Presiden dan pimpinan tertinggi untuk buat yang terbaik di Sabah.

“Kita serahkan supaya dapat merangka bagaimana kerjasama itu (berlaku), merangka supaya kita tidak lagi hanya mengikut di belakang, walaupun kita tidak di hadapan, kita sama dengan mereka kerana kita juga mempunyai dimesi baharu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment