Pas tolak jajaran baharu, perkukuh PN

MARANG 9 April – Pas menolak sebarang bentuk kerjasama bagi mewujudkan jajaran politik baharu, sebaliknya, akan terus memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu juga tidak akan bekerjasama dengan UMNO sekiranya benar wujud jajaran baharu berkenaan termasuk melibatkan PKR.

Merujuk pada penularan rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Abdul Hadi berkata, sekiranya benar wujud komunikasi sedemikian, itu memberi tanda-tanda jajaran politik baru yang ditolak Pas.

Itu sebahagian daripada jajaran baharu.. jajaran baharu sudah diumumkan (sebelum ini) … itu adalah tanda-tanda jajaran baharu. Kita (Pas) terus dengan Perikatan Nasional bukan jajaran baharu, kita tolak jajaran baharu,” kata Abdul Hadi di Rusila hari ini.

Beliau mengulas penyebaran rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Ahli Parlimen Port Dickson yang antara lain kandungannya mengenai rumusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) yang berlangsung baru-baru ini.

Ditanya apakah Pas akan bekerjasama dengan UMNO sekiranya rakan sekutunya menjalinkan jajaran baharu dengan PKR, Abdul Hadi berkata:

“Tidak-tidak… kita tak akan terima (UMNO) kerana kita bersetuju dengan Muafakat Nasional yang bukan sahaja melibatkan UMNO, melibatkan Bersatu juga… melibatkan semua kumpulan Melayu Islam Bumiputera, kemudian masyarakat majmuk dan Perikatan Nasional digabungkan,” .

Ketika ditanya reaksi beliau mengenai rakaman audio antara Ahmad Zahid dan Anwar pula, Abdul Hadi berkata, penyebaran sedemikian bukanlah perkara baharu dalam gelanggang politik.

“Tulen tak tulen saya tak tahu, cukup (untuk) masyarakat menilai. Sudah berapa kali (penyebaran audio dan video sebelum ini),” jelas beliau.

Related posts

Leave a Comment