Malaysia hargai sumbangan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 5 April – Perdana Menteri Muhyiddin hari ini menyatakan penghargaan atas sumbangan Brunei Darussalam ketika Malaysia berdepan penularan pandemik Covid-19.

“Patik menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Tuanku dengan sumbangan sebanyak 1,000 unit kit ujian Covid-19 kepada Malaysia yang telah diterima melalui Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan itu memberi manfaat kepada penggunaan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia dan seterusnya kepada rakyat Malaysia.

“Patik juga mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan rasa syukur di atas perkenan dan kemurahan hati Kebawah Duli Tuanku dalam melibatkan rakyat Malaysia sebagai penerima vaksin secara percuma di Negara ini.

“Khabar gembira ini sudah pastinya membawa makna besar kepada rakyat Malaysia yang sedang bermaustatin di Negara Brunei Darussalam,” katanya dalam ucapan

pada Majlis Persantapan Rasmi di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman.

Sebelum itu Perdana Menteri mengadakan Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia Brunei ke 23 dan kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan majlis menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Kerjasama dalam Pengurusan Bencana yang disempurnakan oleh Menteri Luar Negeri kedua-dua negara.

Kerjasama itu akan mengukuhkan kerjasama pengurusan bencana dua negara termasuk dari segi latihan, pelaksanaan latihan bersama, operasi dan pertukaran kepakaran dan maklumat yang berkaitan pencegahan bencana dan pengurangan risiko.

Manakala MoU kedua pula melibatkan Petronas dan Brunei National Unitisation Secretariat (BNUS) bagi formalasi Perjanjian Penyatuan (UA) sekali gus menjadi perjanjian penting dan menandakan kerjasama yang kuat antara kedua-dua belah pihak.

UA dijangka memberikan momentum positif kepada kerjasama minyak dan gas antara kedua-dua negara.

Related posts

Leave a Comment