Tidak perkenan solat Jumaat di pusat beli belah

SHAH ALAM 8 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Salehuddin Saidin, berkata ketetapan itu dibuat selaras kuasa prerogatif baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor dalam menentukan hal ehwal pentadbiran agama Islam termasuk kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla.

Beliau berkata, walaupun MAIS menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara, pelaksanaannya di Selangor tertakluk kepada peruntukan undang-undang negeri.

“MAIS mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berhubung cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara

Bagaimanapun, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid, surau atau musolla tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sehubungan itu, MAIS dimaklumkan bahawa buat masa ini baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Salehuddin berkata, ketetapan itu dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan yang digariskan sebelum ini.

Beliau berkata kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla pusat beli-belah boleh menjejaskan usaha memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam.

“Keadaan itu boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid dan surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk menunaikan solat Jumaat di surau atau musolla di pusat beli-belah.

“Ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di Selangor.

“Jumlah itu menunjukkan kemudahan sedia ada mencukupi dan mampu menampung keperluan umat Islam di negeri ini. Selain itu, terdapat juga masjid dan surau yang terletak berhampiran pusat beli-belah bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, solat Jumaat adalah ibadah yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam dan lebih sesuai dilaksanakan di masjid atau surau yang dikhususkan sebagai tempat ibadah berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya menjadi lokasi aktiviti perniagaan, hiburan dan rekreasi.

Katanya, tempoh rehat yang diperuntukkan kepada pekerja juga mencukupi untuk membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau berhampiran.

Selain itu, katanya, pemberian kebenaran kepada surau atau musolla di pusat beli-belah untuk mengadakan solat Jumaat turut memerlukan perhatian terhadap aspek pelantikan imam, bilal dan petugas lain serta pengurusan dan tadbir urus yang mematuhi dasar dan peraturan MAIS.

“Jika petugas surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan aspek pemantauan dan kawalan, termasuk memastikan pematuhan serta keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan MAIS,” katanya.

Salehuddin berkata, ketika ini hanya sebuah surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberikan kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat kerana tiada masjid berhampiran.

Beliau berkata, kebenaran sementara itu akan ditarik balik sekiranya sebuah masjid dibina berhampiran lokasi berkenaan yang mampu menampung keperluan penduduk Islam setempat.

Katanya, ketetapan Sultan Selangor itu selaras dengan usaha memperkukuhkan fungsi masjid sebagai pusat ibadah utama, penyebaran ilmu dan dakwah.

“MAIS menyeru seluruh umat Islam di Selangor supaya terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi itu kekal menjadi pusat perpaduan umat Islam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment