50 juta euro akan dipulangkan kepada Syria

DAMSYIK – Perancis akan memulangkan lebih 50 juta euro yang didakwa diseleweng keluarga bekas pemimpin Syria, Bashar al-Assad, kepada negara itu, kata Presiden Emmanuel Macron.

Beliau berkata wang berkenaan akan disalurkan semula kepada rakyat Syria bagi membiayai projek pembangunan negara itu.

Wang berkenaan dirampas pihak berkuasa Perancis daripada Rifaat al-Assad, iaitu bapa saudara Bashar.

Macron membuat pengumuman itu ketika mengadakan lawatan rasmi ke Damsyik, iaitu lawatan pertama pemimpin negara Kesatuan Eropah (EU) ke Syria sejak Bashar digulingkan pada akhir 2024.

Dalam lawatan itu, Perancis dan Syria menandatangani beberapa perjanjian berkaitan pembangunan serta usaha membina semula negara itu selepas lebih 10 tahun berdepan perang saudara.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua negara, proses pemulangan membabitkan 51 juta euro (RM236.7 juta) daripada aset milik Rifaat yang disita oleh sistem kehakiman Perancis akan dimulakan.

Rifaat melarikan diri dari Syria pada 1984 selepas cubaan menggulingkan Bashar gagal. Beliau kemudian tinggal di Switzerland sebelum berpindah ke Perancis.

Beliau pernah mendakwa dirinya sebagai penentang Bashar, yang mengambil alih pemerintahan Syria pada 2000 selepas kematian bapanya, Hafez al-Assad.

Pada 2021, Rifaat kembali ke Syria dari Perancis bagi mengelakkan hukuman penjara empat tahun atas kesalahan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan dana awam.

Dua tahun kemudian, beliau muncul dalam gambar keluarga bersama Bashar, isterinya Asma serta anggota keluarga lain.

Selepas Bashar digulingkan, Rifaat dilaporkan meninggalkan Lubnan melalui Lapangan Terbang Beirut, namun destinasi akhirnya tidak diketahui.

Keluarganya mengumumkan kematiannya pada Januari lalu ketika berusia 88 tahun.

Rifaat turut dikaitkan dengan pembunuhan beramai-ramai di Hama pada 1982 ketika kerajaan Syria melancarkan operasi menumpaskan pemberontakan kumpulan Ikhwanul Muslimin.

Beliau mendapat gelaran “Penyembelih Hama” susulan peranannya dalam operasi yang mengorbankan antara 10,000 hingga 40,000 orang, menurut anggaran berbeza.

Nnn

Related posts

Leave a Comment