Fasa dua vaksinasi awal dua hari

PUTRAJAYA 1 April  – Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diawalkan dua hari iaitu dari 19 April kepada 17 April ini, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Justeru kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi cuma 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya, kempen untuk meningkatkan pendaftaran vaksinasi dibuat melalui lima kaedah iaitu menerusi MySejahtera atau laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), menghubungi talian hotline, hadir ke pusat kesihatan daerah dan menerusi program non-governmental organisation (NGO) outreach yang juga memberi fokus kepada golongan gelandangan dan pendatang tanpa izin.

Sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua melibatkan golongan berisiko tinggi antaranya warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbidit.

Dr Adham berkata demikian kepada media selepas majlis memeterai perjanjian antara KKM dan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio) untuk proses ‘fill and finish’ vaksin Covid-19 jenis CanSino dari China di sini hari ini.

Malaysia akan menerima  3.5 juta dos vaksin Covid-19 CanSino dari China secara berperingkat, bermula bulan ini.
CanSino merupakan Vaksin dos tunggal kedua dalam portfolio vaksin Malaysia selepas Sputnik.

Dr Adham berkata program vaksinasi akan terus dilaksanakan pada Ramadan dan menawarkan penerima vaksin untuk menerima suntikan pada waktu malam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.

Ditanya tindakan larangan eksport vaksin di beberapa negara bagi memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kekurangan bekalan, Dr Adham berkata ia tidak akan menjejaskan program imunisasi yang sedang berjalan di Malaysia kerana pembekal telah memberi komitmen kepada kerajaan bahawa penghantaran akan mengikut jadual.

Sebagai contoh, katanya Malaysia akan mendapatkan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand menerusi pemerolehan langsung, manakala bekalan vaksin AstraZeneca menerusi kemudahan COVAX pula dari Korea Selatan.

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!