Singapura timbang jururawat bertudung

SINGAPURA 31 Mac – Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan terima kasih kepada Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir kerana melahirkan sokongan MUIS kepada usaha kerajaan mempertimbangkan membenarkan jururawat Muslim memakai tudung.

Katanya, kerajaan memahami pentingnya pemakaian tudung kepada Muslim Singapura serta keinginan sebilangan jururawat Muslim untuk memakai tudung bersama pakaian seragam mereka.

“Kami kini menimbangkan bagaimana ini boleh dilakukan,” kata Lee dalam sepucuk surat balas kepada Muft bertarikh 31 Mac sebagai menjawab surat kiriman  Dr Nazirudin pada 27 Mac.

Mufti dalam suratnya menyambut baik pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa besar kemungkinan jururawat Muslim dibenarkan memakai tudung di tempat kerja.

Perdana Menteri turut menyiarkan surat mufti dan jawapan balas di Facebooknya.

Menurut Lee, Singapura antara sebilangan kecil negara di dunia, di mana rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup secara aman dan akrab bersama-sama.

Semua ini dicapai menerusi sikap saling bertolak ansur serta membina kepercayaan oleh semua kumpulan, dan kini Singapura mencapai satu imbangan rumit yang mengambil kira kepentingan semua masyarakat.

Bagaimanapun beliau menekankan bahawa imbangan itu bersifat “dinamik”.

“Sedang generasi lebih muda Singapura membesar dan sikap berubah, isu-isu baru dan tekanan-tekanan baru pula timbul.

“Ini mesti ditangani dengan mengambil kira konteks Singapura,” kata Lee sambil menambah sebarang perubahan, mesti dipertimbangkan dengan berhati-hati dan beransur-ansur.

Beliau percaya dengan cara itu sebarang perubahan akan dimengerti dan diterima oleh semua masyarakat dan hasilnya akan menguatkan, bukan melemahkan keharmonian kaum dan agama negara ini.

Sementara itu, Dr Nazirudin dalam suratnya menyatakan penghargaan kerana ia satu keputusan yang rumit dengan banyak pertimbangan yang sukar.

“Anda menjelaskan kepada masyarakat sebelum ini bahawa kedudukan Pemerintah tidak statik dan dasar-dasar harus berubah secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Kami diberi jaminan bahawa pemerintah dapat melihat sebab-sebab mengapa para jururawat Muslim boleh memakai tudung jika mereka memilih untuk berbuat demikian dan menyatakan bahawa satu keputusan akan dibuat apabila rundingan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan berhubung isu itu selesai dijalankan.

“Dengan penilaian semula ini, kami berharap para jururawat Muslim akan meraih keselesaan dan dapat terus cemerlang dalam kerjaya mereka,” kata Dr Nazirudin.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan , bagi pihak  jururawat Muslim.

Related posts

Leave a Comment